Saturday, July 22, 2006

Bahana kerjasama dengan Mahathir

KRITIKAN keras bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap pentadbiran negara sekarang bukanlah satu lesen untuk pembangkang menyokongnya, kata bekas Timbalan Perdana Menteri dan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (Keadilan), Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam wawancara ekslusif dengan sebuah portal berita minggu lalu, beliau berkata, adalah amat merbahaya untuk “menyokong seseorang yang memerintah secara authoritarian walaupun pertelagahan antara Dr Mahathir dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menguntungkan pembangkang.

“Saya rasa Dr Mahathir (dengan mengkritik kerajaan) telah membuka sedikit ruang demokrasi...saya rasa ia telah banyak membantu, bukan sahaja PAS tetapi juga saya sendiri dan pembangkang. Tetapi kita mesti tahu garis sempadannya,” katanya.

Anwar berkata, beliau telah memperjelaskan perkara itu dalam pertemuannya dengan pemimpin PAS baru-baru ini, termasuk mereka yang secara terbuka menyokong Dr Mahathir. Keadaan itu telah menimbulkan rasa kurang senang antara dua parti komponan Barisan Alternatif (BA)—PAS dan Keadilan.

“Saya berbincang dengan panjang lebar (Presiden PAS, Datuk Seri Abdul) Hadi (Awang) dan (ahli Jawatankuasa Pusat Datuk) Mustafa Ali. Saya (memberitahu mereka) bahawa persepsi menyokong Dr Mahathir adalah tidak betul.

“Apa yang mereka kata ialah parti itu bersedia menerima Dr Mahathir jika beliau mengakui segala kesilapan yang telah dilakukannya dan memperbetulkannya. Tetapi apakah anda fikir beliau akan berbuat demikian?” soal Anwar yang telah dipecat oleh Dr Mahathir pada 1998.

“Tetapi jika dia berkata: ‘Saya silap mengenai perkara ini, itu dan maafkanlah saya’, saya pasti akan memaafkannya. Malah, saya mungkin bersedia untuk menarik balik saman saya terhadapnya,” kata Anwar.

Pada 24 Jun lalu, Timbalan Presiden PAS, Nasharuddin Mat Isa, Naib Presiden Datuk Seri Husam Musa dan Ketua Pemuda PAS, Salahuddin Ayub telah menghadiri majlis ceramah Dr Mahathir.

Bertanding di Permatang Pauh?

Dalam wawancara selama dua jam itu, Anwar berkata, walaupun beliau tidak optimistik untuk membawa pembangkang di bawah satu bumbung, tetapi tegasnya, mesti ada satu agenda bersama.

“Saya telah mengadakan beberapa perbincangan dengan PAS dan DAP secara berasingan dan pada amnya, mereka akan terus bekerja secara berasingan dengan saya dan Keadilan. Bagi saya, itu sesuatu yang amat positif,” katanya.

Beliau berkata, walaupun DAP tidak berminat untuk berbincang dengan PAS, tetapi ia tidak kisah jika Keadilan meneruskan perbincangannya dengan parti Islam itu.

Anwar juga tidak pasti sama ada beliau akan bertanding semula di kerusi lamanya di Parlimen Permatang Pauh—yang kini diwakili isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang juga Presiden Keadilan—sekiranya beliau dibolehkan aktif dalam politik.

Beliau berkata, akar umbi di kawasan pilihanraya tersebut telah menyatatakan pandangan mereka yang mahu Wan Azizah, tetapi perkara itu belum dimuktamadkan lagi, sambil menambah terdapat juga cadangan supaya beliau bertanding di kawasan berbilang kaum.

Mengulas tentang debat mengenai isu agama sekarang yang timbul ekoran kematian pendaki Gunung Everest, M Moorthy, Anwar berkata, beliau telah ditemui oleh pertubuhan Islam dan bukan Islam untuk bertanyakan pandangannya bagi menyelesaikan masalah tersebut.

Katanya, selepas berbincang dengan dua kumpulan tersebut, beliau terperanjat apabila menyedari wujudkan salah maklumat serta betapa besarnya sikap prejudis antara mereka.

Menurutnya, kurangnya komitmen kerajaan untuk menyelesaikan masalah tersebut telah memburukkkan lagi keadaannya.

Beliau berkata, pihak berkuasa tidak berusaha untuk mencari jalan supaya kedua-dua kumpulan yang bertelagah ini memahami perbezaan antara mereka. [ Malaysiakini ]

[ kembali ke halaman utama ]

Saturday, July 15, 2006

Johor kecam Rahman Othman

KEADILAN negeri Johor merasa terkejut dan hampa dengan tindakkan bekas Bendahari Agung, Abdul Rahman Othman [foto sebelah] kerana mengecam parti dengan mengeluarkan kenyataan yang melampau dan tidak beradab.

Pengerusi Perhubungan Negeri Johor, Dr Dr.Zaliha Mustafa dalam satu kenyataan ringkas 15 Julai lalu berkata, sebagai orang yang pernah bersama Parti, Abdul Rahman tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan yang melampau sehingga tergamak mendesak agar Keadilan dibubarkan.

Keadilan Negeri Johor merasa terkejut dengan berita yang tersiar di dalam akhbar Utusan Malaysia bertarikh 7 Julai 2006 berkaitan dengan perletakan jawatan Bendahari Agong Parti, Abdul Rahman Othman, yang juga bekas Ahli Exco negeri Johor,” kata Dr Zaliha.

Namun, Keadilan sudahpun segera mendapatkan pengganti Bendahari Agung yang baru, iaitu Tan Sri Khalid Ibrahim dan beliau dilihat cukup berwibawa untuk memperkukuh parti.

Kenyataan lima perenggan itu dicapai selepas mesyuarat Keadilan peringkat Negeri pada 8hb Julai lalu. Di samping menghormati hak Abdul Rahman mengeluarkan pandangan, tetapi Dr Zaliha juga menggesa agar bekas Bendahari Agung itu turut memikirkan untuk menggunakan saluran Parti terlebih dahulu agar kenyataan Rahman itu tidak dilihat sebagai berniat buruk.

Selain beberapa pemimpin Pas, Rahman adalah antara individu yang lahir dalam program dialog bersama bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohammad di Taman Melawati, 24 Jun lalu. Namun begitu, pihak Parti sudahpun membuat penjelasan bahawa kehadiran Rahman itu adalah atas kapasiti peribadi dan bukan keputusan Parti.

“Kenyataan yang disalurkan melalui media arus perdana yang didokong oleh Barisan Nasional sudah barang tentu mengundang manipulasi dan memberi ruang kepada musuh politik untuk melemahkan parti,” kata Zaliha lagi.

Di samping itu, setiap ahli juga disaran agar bertindak secara rasional dalam menyuarakan ketidakpuasan hati agar tindakan tersebut tidak merugikan parti kerana parti juga mempunyai hak dan maruah yang perlu dijaga dengan baik.

[kembali ke halaman utama]