Tuesday, March 13, 2007

Anwar hampiri Presiden, Azmin Dahului sebagai Timbalan

OLEH Khairuddin Mohd

KUALA LUMPUR (14 Mac 2007) ~ Bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim terus berada di hadapan untuk jawatan presiden dengan 26 pencalonan selepas dua minggu Mesyuarat Agung Tahunan Bahagian (MATB) bermula.

Datin Seri Dr Wan Azizah pula mendapat lima pencalonan, termasuk daripada bahagian Parit Sulong. Turut dicalonkan oleh bahagian berkenaan ialah Azmin Ali sebagai timbalan presiden, dan tiga naib presiden iaitu Fuziah Salleh, Dr Lee Boon Chai dan Datuk Nallakarupan.

Sementara itu, menurut sumber yang rapat dengan Ibu Pejabat Parti, bagi jawatan timbalan presiden, Azmin Ali masih mendahului penyandang jawatan berkenaan, Dr Syed Husin Ali dengan kedudukan 18-16. Azmin mula mendapat pencalonan daripada Bahagian Kelana Jaya awal Mac lalu.

“Laporan sebuah media siber hari ini mengelirukan apabila menyatakan Dr Syed Husin Ali mendahului Azmin. Saya ragu laporan berkenaan datang dari sumber yang tidak tepat,” kata sumber berkenaan kepada Blog Parit Sulong.

Laman berita Malaysiakini semalam melaporkan, Dr Syed Husin mendapat 16 sementara Azmin pula memperolehi 14 pencalonan.

“Sewajarnya pihak yang berkepentingan tidak mengeluarkan apa-apa kenyataan dan pihak media harus terus merujuk kepada pegawai Ibu Pejabat Parti. Sewajarnya Biro Penerangan berlaku terlus dan profesional,” katanya lagi.

Sokongan dan pencalonan terhadap Azmin untuk jawatan Timbalan Presiden juga dikatakan bermula selepas kenyataan Dr Syed Husin yang berhasrat berundur daripada politk di dalam Kongres Nasional lalu di Pulau Pinang.

“Kenyataan begini masih diingati oleh para perwakilan dan pemerhati. Mana-mana pemimpin tertinggi tidak sewajarnya menggunakan kaedah begini sebagai cara politik mempertahan kedudukan. Tentunya ahli-ahli mahu pengganti yang berwibawa selepas Dr Syed Husin sendiri adalah tokoh utama dalam Parti,” menurut sumber itu.

Tambah sumber itu, tidak timbul persoalan sama ada Azmin mahu mencabar Syed Husin atau tidak kerana jawatan berkenaan (Timbalan Presiden) seolah-olah sudahpun dianggap kosong di mata ahli-ahli.

“Kalau hari ini beliau (Syed Husin) mahu berpolitik semula, terpulang kepada beliau, selain ahli-ahli nampaknya mula mencari calon pengganti beliau,” katanya.

[kembali ke halaman utama]

0 Comments:

Post a Comment

<< Home