Sunday, March 25, 2007

Hasmi Seru Bawa Gagasan Pencerahan

OLEH Ammar Rozi

KUALA LUMPUR (24 Mac 2007): Buat julung kalinya, Hasmi Hashim membuat kenyataan terbuka dengan menyeru agar generasi muda hari ini bersedia membawa gagasan dan agenda yang lebih besar bagi memastikan kelangsungan perjuangan reformasi.

Seruan tersebut dibuat di hadapan hampir seribu penyokong dalam program pidato umum di Jalan Enggang, Keramat, dekat sini malam tadi. Menurut Hasmi, generasi muda hari ini seharusnya sudah bersedia dengan gagasan yang jelas dan mantap untuk mewarisi perjuangan reformasi 1998.

"Tidak ada perjuangan yang lebih bermakna selepas merdeka, kecuali perjuangan reformasi dan detik 1998 akan terus kekal dalam sejarah negara kita," katanya.

Beliau berkata, kebejatan yang dilakukan oleh elit Umno dan Barisan Nasional (BN) hanya boleh ditamatkan seandainya generasi muda sanggup membawa maksud pencerahan sebagai semangat zaman.

"Tanggungjawab kita hari ini adalah untuk membawa "Gagasan Pencerahan" dan saya berbangga menyatakan pendirian ini, malam ini. Tempat ini tempat keramat.... saya dan teman-teman siap," tambahnya lagi.

Dalam waktu yang sama, Hasmi turut mengajak agar rakyat Malaysia mulai berani untuk meninggalkan "politik sentimen." Beliau menyatakan bahawa pemimpin Umno-BN terus selesa berkuasa kerana memainkan politik sentimen.

"Kita harus bersungguh-sungguh membuka lembaran baru... politik baru. Kita kini menuju politik yang rasional, dengan pertimbangan yang waras. Jangan biarkan negara ini diperintah oleh mereka yang memainkan api sentimen apa pun," tegas Hasmi yang juga ketua bahagian termuda dengan menerajui Keadilan Parit Sulong, Johor.

Buku Anwar Dibakar

Turut berpidato dalam program anjuran Keadilan Bahagian Ampang ialah Naib Presiden Keadilan, Azmin Ali dan Ahli Jawatankuasa Pas Selangor, Shaari Sungib.

Hasmi turut menceritakan bagaimana buku "Gelombang Kebangkitan Asia" terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) karya Datuk Seri Anwar Ibrahim pernah diperintahkan dibakar oleh kerajaan sewaktu Anwar berada di dalam penjara Sungai Buloh.

"Pemerintah jangan fikir yang saudara-saudari sekalian bodoh sehingga mahu menyekat kita daripada membaca buku berkenaan," katanya. Selain itu, pertengahan Mac lalu, Hasmi mendapat pencalonan sebagai Ketua Angkatan Muda Keadilan yang pertama daripada Bahagian Masjid Tanah, Melaka.

Dalam pidatonya Hasmi turut mengecam tindakan pemimpin muda pemerintah yang tidak habis-habis menyalahkan anak-anak muda, termasuklah menuduh "mat rempit" sebagai punca masalah moral hari ini.

"Saya tidak nafikan ada sebahagian kecil mat rempit yang bermasalah, dan barangkali ada seorang dua "mat metal" yang minum darah kambing.... orang lain semua salah, dia sahaja yang betul. Tetapi pemimpin pemuda Umno dan BN yang hisab darah rakyat tak mengapa?" kata Hasmi.

Bahkan, menurutnya lagi, pemimpin muda dalam Umno dan BN bukan sahaja sudah hilang idealismenya, tetapi juga tidak pernah peduli dengan tradisi ilmu sebagai teras kekuatan bangsa. Beliau membandingkan dengan Anwar yang pernah menulis buku "Menangani Perubahan" pada 1980-an dahulu.

"Kalau Anwar menjadi Ketua Pemuda Umno memang padan sebab idealismenya jelas, pandangannya ada dalam buku pemikiran yang beliau tulis. Tetapi, baik Ketua Pemuda Umno atau Timbalannya sekarang bukan sahaja tidak berminat dengan tradisi ilmu, bahkan langsung tidak pernah menulis apa pun. Tulis cek adalah..." ujar Hasmi lagi.

Dengan sebab itu jugalah, Hasmi menambah, pimpinan muda sewajarnya tidak mudah terjebak sehingga hilang fokus dengan hanya sibuk bermainan politik dalaman dan intrik untuk berebut kuasa sehingga masyarakat akhirnya terabai.

(Pengumuman: Dalam waktu terdekat ini, Blog Parit Sulong akan menyiarkan rakaman video ucapan Naib Presiden Keadilan, Saudara Azmin Ali dalam pidato beliau di Keramat, 24 Mac lalu)

[kembali ke halaman utama]