Friday, June 09, 2006

Jangan dewakan Mahathir, kata Azmin Ali

OLEH Roy Rasul

NAIB Presiden Parti Keadilan Rakyat (Keadilan), Saudara Azmin Ali mengingatkan pimpinan Barisan Alternatif (BA) dan rakyat jelata tidak terperangkap dalam isu pertelagahan Dr Mahathir Mohamad dengan Perdana Menteri, Abdullah Ahmad Badawi. Di samping itu, beliau juga mengingatkan agar tidak sekali-kali mendewakan bekas Perdana Menteri itu.

Beliau berkata, apa yang jelas, isu tersebut ialah soal kreadibiliti di mana kedua-dua pemimpin itu tidak berminat untuk menjaga kemakmuran dan kesejahteraan rakyat.

"Saya lihat serangan Mahathir bersifat peribadi dan dendam kepada Abdullah. Oleh itu saya meminta rakyat jangan terperangkap dengan serangan Mahathir yang tidak diasaskan kepada kreadibiliti," katanya 7 Jun lalu.

Azmin menambah, apa yang dikecam Mahathir terhadap Abdullah juga menjadi amalan beliau semasa memerintah negara sebelum ini.

"Pemerintahan Mahathir pun sama juga mengamalkan kronisme, nepotisme, rasuah dan perkara negatif lain, jadi mengapa beliau serang Abdullah di atas perkara yang sama dilakukannya," dakwanya semasa dihubungi sebuah media pembangkang hari ini.

Dalam satu sidang akhbar di ibu kota semalam Mahathir dipetik mengecam kepimpinan Abdullah. Mahahthir terang-terangan mendakwa Abdullah melanggar janji untuk meneruskan keputusan yang dibuat oleh pentadbirannya sebelum ini.

Antaranya ialah mengenai jambatan bagi menggantikan Tambak Johor, kedudukan kereta nasional Proton, pembangunan Putrajaya dan dasar kewangan serta ekonomi negara.

Oleh itu Azmin berkata, jangan sekali-kalai pemimpin BA mahupun rakyat mendewa-dewakan Mahathir sehingga ghairah untuk meletakkan Mahathir sebagai "Ketua Pembangkang Negara" mahupun penghormatan lain. Idea itersebut terbit daripada Ketua Dewan Pemuda Pas, Salahuddin Ayub dalam ucapan perasmian Muktamar Dewan Pemuda Pas Pusat kali ke-52 lalu, di Kedah, Isnin lalu.

Menurutnya jika ini berlaku ia menunjukkan BA dan rakyat terperangkap dalam isu dalaman Umno.

Azmin menambah, rakyat tidak perlu mengukur Mahathir sebagai pemimpin Umno yang kononnya berani mengkritik kerajaan itu adalah orang yang bersih dan bertanggungjawab.

"Beliau dikenali sebagai pemimpin yang rakus rasuah dan serangan beliau terhadap Abdullah tidak boleh bersihkan namanya walaupun beliau cuba menutup kesalahan dan juga mengalihkan pandangan rakyat mengenai apa yang dilakukan beliau," kata Azmin lagi.

Sehubungan itu, Azmin juga menjelaskan bahawa tidak ada langsung pengisian Umno dalam mengatasi masalah-masalah besar negara seperti ekonomi, keselamatan, pelaburan asing, dan sosial.

"Ini yang sepatut menjadi tangungjawab pemimpin BA untuk mencari jalan penyelesaian bukan membuang masa berbicara masalah dalaman Umno," katanya. [Harakahdaily]

[kembali ke halaman utama]